Sunday, 4 November 2012

Tulisan di Hening Pagi

Assalamualaikum, selamat pagi..Alhamdulillah masih diberi peluang mengucup udara pagi Ahad. Masihkah aku berpeluang bermesra dengan pagi Ahad akan datang? Hanya Allah yang tahu.

Aku menulis post ini di pagi hari. Selesai subuh, aku menikmati pemandangan di luar tingkap. Sejuk. Benarlah anggapan aku, sebenarnya ini Mersing Highland. Sejuknya bukan main lagi. Namun tenang. Kalau sebelum ini aku menulis post sambil mendengar lagu, kali ini berbeza. Aku memilih mendengar musik alam. Tenang.

Waktu macam ini lah aku terlalu rindukan ayah. Dengan kesihatan aku yang kurang memuaskan, aku mengharap ayah di sisi. Selama aku hidup 19 tahun ini, jarang sekali aku sakit bersendirian. Selalunya ayah akan tetap di sisi. Cuma mungkin sekarang sudah berbeza. Aku perlu belajar menerima hakikat ini. Mungkin mereka akan kata, tempat aku belajar tidak jauh dari ayah. Jadi aku boleh balik tiap-tiap minggu untuk berjumpa ayah aku. Namun mereka tidak mengerti. Keadaan aku tidak sama dengan mereka. Aku perlu mengurangkan berjumpa ayah, demi rumahtangga ayah dengan umie, ibu tiri aku. Insyaallah. Allah beri kebahagiaan dalam istana ayah aku. Walau aku perlu berdiri jauh.

Waktu ini juga, aku rindukan suasana dulu. Segalanya terbayang dalam memori aku yang hanya 1G ni. Mengapa 1g? Kerana aku punya ingatan yang lemah. Sukar sekali aku menghafal coding-coding java dalam programming. Tapi untuk mengahafal lagu-lagu duniawi mudah pula aku terimanya. Kasihan. Aku rindukan saat-saat segalanya ada bersama aku. Saat mereka yang terlalu baik bersama aku. Aku rindukan keletah mereka yang dulu. Masyaallah, mengapa begitu sukar aku menerima hakikat. Masa berlalu begitu pantas. Sekelip mata aku hilang segalanya. Namun, Allah beri aku pengganti yang lain pula. Aku bersyukur, namun kadang-kadang, rindu mereka yang lama itu datang juga. Aku insan biasa. Segalanya datang atas kelemahan aku sendiri.

Ya aku baru berusia 19 tahun. Masih mencari diri ini. Masih mengharap bimbingan mereka. Lemahnya aku. Kadang aku begitu takut menghadapi dunia luar. Aku lihat dalam tv, macam seronok hidupnya, namun lain  pula dalam dunia realiti. Bagaimana dengan hidup aku? Aku tak pasti. Aku masih mencari.

Hai dunia, jangan kau sakiti gadis sekerdil aku ini. Aku ini rapuh hatinya, longlai langkahnya, lemah kudratnya, namun Insyaallah kuat hatinya. Namun gentar dan gusar itu tetap ada. Gadis biasa.

mirae


No comments:

Post a Comment