| besar gelak..jangan kacau ini orang.. :p |
Sunday, 4 November 2012
Tulisan di Hening Pagi
Assalamualaikum, selamat pagi..Alhamdulillah masih diberi peluang mengucup udara pagi Ahad. Masihkah aku berpeluang bermesra dengan pagi Ahad akan datang? Hanya Allah yang tahu.
Aku menulis post ini di pagi hari. Selesai subuh, aku menikmati pemandangan di luar tingkap. Sejuk. Benarlah anggapan aku, sebenarnya ini Mersing Highland. Sejuknya bukan main lagi. Namun tenang. Kalau sebelum ini aku menulis post sambil mendengar lagu, kali ini berbeza. Aku memilih mendengar musik alam. Tenang.
Waktu macam ini lah aku terlalu rindukan ayah. Dengan kesihatan aku yang kurang memuaskan, aku mengharap ayah di sisi. Selama aku hidup 19 tahun ini, jarang sekali aku sakit bersendirian. Selalunya ayah akan tetap di sisi. Cuma mungkin sekarang sudah berbeza. Aku perlu belajar menerima hakikat ini. Mungkin mereka akan kata, tempat aku belajar tidak jauh dari ayah. Jadi aku boleh balik tiap-tiap minggu untuk berjumpa ayah aku. Namun mereka tidak mengerti. Keadaan aku tidak sama dengan mereka. Aku perlu mengurangkan berjumpa ayah, demi rumahtangga ayah dengan umie, ibu tiri aku. Insyaallah. Allah beri kebahagiaan dalam istana ayah aku. Walau aku perlu berdiri jauh.
Waktu ini juga, aku rindukan suasana dulu. Segalanya terbayang dalam memori aku yang hanya 1G ni. Mengapa 1g? Kerana aku punya ingatan yang lemah. Sukar sekali aku menghafal coding-coding java dalam programming. Tapi untuk mengahafal lagu-lagu duniawi mudah pula aku terimanya. Kasihan. Aku rindukan saat-saat segalanya ada bersama aku. Saat mereka yang terlalu baik bersama aku. Aku rindukan keletah mereka yang dulu. Masyaallah, mengapa begitu sukar aku menerima hakikat. Masa berlalu begitu pantas. Sekelip mata aku hilang segalanya. Namun, Allah beri aku pengganti yang lain pula. Aku bersyukur, namun kadang-kadang, rindu mereka yang lama itu datang juga. Aku insan biasa. Segalanya datang atas kelemahan aku sendiri.
Ya aku baru berusia 19 tahun. Masih mencari diri ini. Masih mengharap bimbingan mereka. Lemahnya aku. Kadang aku begitu takut menghadapi dunia luar. Aku lihat dalam tv, macam seronok hidupnya, namun lain pula dalam dunia realiti. Bagaimana dengan hidup aku? Aku tak pasti. Aku masih mencari.
Hai dunia, jangan kau sakiti gadis sekerdil aku ini. Aku ini rapuh hatinya, longlai langkahnya, lemah kudratnya, namun Insyaallah kuat hatinya. Namun gentar dan gusar itu tetap ada. Gadis biasa.
mirae
Friday, 2 November 2012
masih mampu
Assalamualaikum..Alhamdulillah masih diberi peluang jari ini menari atas keyboard laptop untuk meluahkan segala rasa yang terbuku dalam jiwa rapuh ini. Kalau tidak mahu baca, sila tekan button x okay :)
Baru-baru ni aku ada tengok cerita Adam dan Hawa. Aku yakin sangat hampir semua remaja dan dewasa layan cerita ni lebih-lebih lagi mereka yang bergelar kaum Hawa juga. Cerita ni memang tengah hangat macam pisang goreng kat tepi jalan tu dan aku yakin sangat dengan statement aku ni.
Aku tak tengok habis lagi cerita ni dan niat untuk sambung habis tengok cerita ni macam takda. Mungkin manusia jenis 'heartless' macam aku ni memang malas nak layan cerita cinta cinta ni. Bukan aku nak bersikap prejudis dan mengkritik mereka yang layan cerita ni, tidak sama sekali. Haa jangan cepat melatah ya kawan-kawan. Cuma memang jenis aku tak mahu ambil bahagian sangat kisah-kisah cinta ni. Pada aku, biarlah aku kenal sendiri bagaimana cinta itu sendiri, sebab kalau aku tengok cerita cinta, aku akan melayang jauh. Sebelum aku melayang tak nampak dunia nyata, baik aku cegah.
Alhamdulillah aku makin nampak jalan yang selama ni aku suluh namun tak juga kelihatan. Benarlah kata orang, sabar selagi mana mampu bersabar, maka Allah akan tunjuk jalan. Seperti yang aku tegaskan sebelum ini, aku ini gadis berhati rapu, lemah tak mampu mengawal jiwa sendiri. Namun setelah mengharungi beberapa bulan yang penuh onak duri ini, aku kagum. Aku kagum dengan diri aku sendiri. Aku sendiri tidak mampu percaya gadis lemah ini mampu menongkah arus yang deras ini. Bukan aku mahu riak, cuma mahu berkongsi. Seperti yang tertera di atas, kalau tak suka, sila tekan button x.
Mungkin pada orang lain hal ini perkara biasa. Namun bagi aku, segala dugaan ini bukan sedikit. Bukan sekadar gigitan semut, bukan sekadar dilibas tali rafia, bukan sekadar luka yang mampu diubati dengan ubat kuning. Sakitnya Masyaallah, hanya Dia Yang Esa yang mengerti. Dalam beberapa bulan yang penuh duri ini, aku tempuh juga. Bukan aku kuat tempuh, tapi aku tiada jalan lain. Hanya itu pilihan aku. Tempuh jua walau sesakit mana hati aku. Luka dalaman ini jauh lebih sakit. Siapa yang mengerti?
Apa yang aku mampu ajar diri ini? Aku halang sepenuhnya wajah ini berpaling ke belakang. Aku halang sepenuhnya jiwa mengimbau perkara lama. Aku tak dapat nafikan yang lalu itu sungguh indah, yang lalu itu sungguh manis. Namun, yang manis itu kadang-kadang memudaratkan dan yang pahit itu jugalah ubat.
Alhamdulillah, aku masih mampu mengukir bintang di langit. Luka dalaman ini mampu aku kaburkan. Namun parutnya masih ada, cuma aku bisa kaburkan. Aku sendiri tidak menyangka akan aku kecapi semua ini. Beberapa kejayaan aku berjaya raih. Alhamdulillah.
Jangan putus asa wahai sahabat, jangan kau gentar tempuh onak duri itu. Kenapa aku berani berkata begini? Kerana aku telah cuba. Aku juga hampir tersungkur, namun aku bingkas bangun. Jangan putus asa sahabat!
*Sama-sama doakan keselamatan sahabat kami, Muhammad Zulhilmi bin Zulkarnaini yang kemalangan. Kami bersama kau zul! Jangan putus asa lawan yang sakit, bangunkan semangat kau.
mirae
Subscribe to:
Comments (Atom)